Rawatan Urut Bagi Pemulihan Urat Saraf.

Urut

Artikel ini menerangkan cara urut dilakukan bertujuan memulihkan urat saraf mengikut mengikut jenis penyakit yang dialami.Kaedah ini menerangkan 2 kaedah rawatan urut iaitu rawatan urut seluruh badan & rawatan urut khusus untuk anggota badan tertentu sahaja.Selain menerangkan cara dan kaedah mengurut dilakukan,punca-punca sesuatu penyakit bagi urat saraf manusia juga dijelaskan.

Kaedah Urut Secara Umum.

Mengurut dikenali dengan pelbagai maksud lain seperti enjak,gonyoh,gosok,picit dsb.Ia merupakan cara terulung untuk memulihkan masalah urat saraf dalam rawatan tradisional Melayu.Definisi mengurut ini ialah rawatan yang dikenakan kepada seseorang yang mengalami gangguan saraf yang melibatkan mana-mana anggota badan untuk mengurangkan ketegangan dan kesakitan dengan dibuat secara berulang-kali.

Mengurut bermaksud sentuhan anggota badan di antara si pengurut dan juda si pesakit.Si pengurut biasanya menggunakan tangan dan juga kaki untuk mengurut.Secara khusus anggota badan yang digunakan oleh tukang urut adalah tapak tangan,ibu jari,hujung jari,lengan serta siku.Penggunaan setiap anggota badan untuk mengurut ke atas setiap pesakit adalah bergantung kepada tempat-tempat/bahagian yang akan diurut ke atas pesakit tersebut.

Bagi rawatan urut yang digunakan dengan anggota kaki,biasanya tukang urut menggunakan tumit,ibu jari kaki dan juga lutut.Rawatan urut pemulihan urat saraf seluruh badan dilakukan kepada meraka yang mengalami masalah lumpuh seluruh badan,sakit pinggang dan masalah lenguh-lenguh badan akibat penat bekerja.Manakala rawatan urut khusus untuk pemulihan urat saraf ke atas satu-satu anggota ini dilakukan ke atas mereka yang mengalami masalah gangguan saraf seperti kebas,lumpuh separuh badan,lumpuh mulut /mata,bengkak urat peranakan,sakit tengkuk,sakit kepala dan lemah tenaga batin.

Mengurut Seluruh Badan.

Secara umumnya semua orang mengetahui,rawatan urut diberikan kepada orang yang lenguh dan sakit badan implikasi daripada melakukan kerja yang berat seharian dan bagi mereka yang terlibat dalam kemalangan.Rawatan urut juga diberikan kepada orang yang menghidapi sakit lumpuh,perempuan yang baru lepas bersalin dan juga bagi orang yang mendapat implikasi akibat gangguan makhluk-makhluk halus.Akibat daripada perkara tersebut,urat saraf mungkin telah putus serta rosak yang mengakibatkan pesakit langsung tidak ada harapan untuk menggerakkan anggota yang dimaksudkan tersebut.Secara lebih ringan sedikit,urat saraf(salur darah) mungkin tersumbat oleh lendir dan lemak menyebabkan darah tidak dapat berjalan dengan baik.Ini masih boleh dirawat.Di bawah ini adalah diterangkan teknik mengurut seluruh badan sebagai usaha untuk menyelesaikan masalah tersebut.

A. Mengurut boleh dilakukan ketika pesakit dalam keadaan duduk berlunjur,ketika melentang dan meniarap.Ketika pesakit duduk berlunjur,bahagian-bahagian yang diurut ialah:

  1. Bahagian atas tengkuk.
  2. Bahagian bahu kiri dan kanan.
  3. Bahagian urat belikat,urat tulang kipas dan urat pinggang.

B.   Peringkat kedua ialah mengurut ketika pesakit dalam keadaan melentang.Bahagian-bahagian yang diurut adalah seperti berikut:

  1. Bahagian perut.
  2. Dada dan urat susu.
  3. Kepala bahu hingga ke pergelangan tangan dan ke hujung jari dengan menggunakan tapak tangan.Urutan dilakukan dari atas ke bawah.
  4. Tapak kaki.Urut perlahan-lahan dengan menggunakan ibu jari.
  5. Jantung betis.
  6. Paha.

C.  Peringkat ketiga ialah mengurut ketika pesakit dalam keadaan meniarap.Bahagian-bahagian yang diurut adalah menurut susunan berikut.

  1. Bahagian pinggang iaitu dengan cara menekan bahagian ini dengan hujung ibu jari perlahan-lahan,sekurang-kurangnya 3 kali dan seelok-eloknya 7 kali.
  2. Urut hujung tulang kipas.
  3. Bahagian tulang kipas.
  4. Leher kanan dan kiri dan kedua belah bahu.
  5. Tangan kiri dan kanan hingga ke hujung jari.
  6. Kaki kanan dan kiri bermula dari celah-celah jari kaki,betis dan paha.

Jampi yang dibaca adalah sepertri berikut.

“Jangan bawa kuwung,cending pada aku.Bukan aku punya pelepas kuwung.Jibrail,Mikail,Israfil,Izrail.Pelepas kuwung,cending atas tubuh badan”

Kemudian pesakit ditiup sambil digosok-gosok bahagian belakang,bahu leher dan kepala.Jampi mentera dikatakan dapat memberi semangat dan keyakinan kepada pesakit.Mengurut tanpa diakhiri jampi mentera tidak ubahnya seperti memulihkan urat saraf yang tiada kesudahannya.

Selain kaedah di atas,mengurut seluruh badan boleh dilakukan menurut susunan seperti berikut:

  1. Bahagian perut: Iaitu dengan menekan di bahagian hujung perut bawah di sebelah kiri dengan menggunakan kedua-dua hujung jari tangan.
  2. Kelilingi pusat sebanyak 3 kali.Proses ini dinamakan sebagai pusingan Tawaf.Dari pusat urut secara perlahan-lahan ke bahagian hujung perut bawah di sebelah kanan.Bahagian ini ditekan perlahan dengan menggunakan kedua-dua belah hujung jari tangan dan akhirnya ditolak ke  bahagian pusat sebanyak 3 kali.
  3. Tekan bahagian ari-ari dan ditolak ke bahagian perut bawah pusat.Bahagian ini tidak boleh diurut dari atas(bawah pusat) ke bawah(bahagian ari-ari) kerana ia boleh melemahkan urat kemaluan bagi lelaki dan urat peranakan bagi perempuan.Urutan mesti dilakukan dari bahagian ari-ari ke bahagian bawah pusat.
  4. Urut dada perlahan-lahan dengan menggunakan kedua tapak tangan.
  5. Tangan kiri,yang dimulakan dari bahagian celah-celah jari tangan ke bahagian atas hingga ke pangkal bahu dengan menggunakan ibu jari tangan.
  6. Tangan kanan menurut kaedah yang sama.
  7. Urut kaki kanan dimulai dari tapak kaki menuju ke pergelangan kaki.
  8. Jantung betis sampai ke paha.
  9. Kaki kiri dengan kaedah yang sama.

Selepas itu mengurut dilakukan ketika pesakit dalam keadaan duduk dan meniarap menurut susunan seperti berikut:

  1. Kaki kiri yang dimulai dari tapak kaki,pergelangan kaki,labu betis dan paha.Mengurut bahagian jantung(labu) betis mestilah bawah ke atas dengan tujuan melembutkan urat perut dan usus.
  2. Kaki kanan menurut kaedah yang sama.
  3. Pinggang sebelah kanan iaitu dengan menekan ibu jari tangan ke bahagian tersebut.Tolak ke bahagian belikat kemudian ke bahagian urat tulang belikat.
  4. Tangan kanan yang dimulakan dari celah-celah jari-jari tangan,pergelangan hingga ke bahu.
  5. Tangan kiri menurut kaedah yang sama.

Mengurut hendaklah diakhiri dengan menepuk-nepuk bahagian pinggang pesakit dengan bahagian belakang tapak tangan sebanyak 7 kali yang disertai dengan doa.

Urut Bahagian-Bahagian Tertentu.

Tidak semua penyakit urat saraf memerlukan urutan menyeluruh.Sesetengah penyakit urat saraf hanya memerlukan urutan pada bahagian-bahagian  tertentu badan.Ini bergantunglah kepada jenis penyakit yang dialami.Sakit perut memulas misalnya hanya memerlukan urutan di bahagian labu betis,tapak kaki kiri dan kanan serta dengan memaut di bawah ibu jari kaki kiri dan kanan.Bahagian jantung(labu) betis perlu diurut kerana ia dipercayai boleh mengendurkan urat perut dan seterusnya boleh mengurangkan kesakitan yang dialami.Ini diakui oleh semua tukang urut yang ditemui.Begitu juga dengan sakit pening yang berpunca daripada gangguan fikiran dan kerosakan otot dan urat saraf di bahagian belakang urutkepala.Untuk merawat penyakit ini,hanya bahagian-bahagian tertentu sahaja yang perlu diurut iaitu di bahagian leher kiri dan kanan,bahu kiri dan kanan,bahagian belakang kepala dan urat bawah telinga.

Bahagian ini diurut bertujuan untuk memulihkan kerosakan urat saraf dan seterusnya membolehkan perjalanan darah berfungsi seperti biasa.Oleh itu pemulihan urat saraf hanya perlu dilakukan dengan cara mengurut bahagian-bahagian tertentu di badan untuk memulihkan sesuatu penyakit saraf.Untuk menjelaskan lagi kaedah mengurut berdasarkan kepada zon ini,berikutnya diperturunkan beberapa jenis penyakit urat saraf yang memerlukan rawatan urut  pada bahagian-bahagian tertentu sahaja.