Mempelajari Dan Mengamalkan Ilmu Tutom.

Tutom

Setiap tukang urut tradisional harus mempelajari Ilmu Tutom Urat sebagai alat yang boleh membantu mereka dalam soal merawat dan mengurut pulih pelanggan dalam kes-kes tertentu. Sepanjang yang diketahui, perkataan “Tutom” itu sebenarnya adalah bahasa dalam Ilmu Perdukunan Melayu Kelantan yang membawa maksud “memanggil atau menyeru penyakit yang mana bisa-bisanya akan keluar dari badan seseorang pesakit”. Sudah tentu ramai di kalangan pembaca akan timbul keraguan dan tidak berapa yakin tentang sejauh manakah benarnya kenyataan ini bila sahaja hal seperti ini dibincangkan. Lebih-lebih lagi cara rawatan tutom ini agak luar biasa dan sudah tentunya tidak sampai untuk difikirkanoleh orang awam. Memang benar sekali ungkapam peribahasa melayu moden yang berbunyi “Hanya Muthu yang kenal Manikam, bukannya Johari”. Di sini jelaslah kepada kita bahawa orang-orang yang mengkaji dan mengikuti perkembangan Ilmu Perdukunan dan bomoh sahaja yang faham dan percaya akan cerita ini.

Amalan Tutom Mula Diperkenalkan Di Indonesia.

Amalan ini mula diperkenalkan di Indonesia semasa pemerintahan Deponogoro di negeri Jawa. Oleh itu tidak hairanlah jika amalan Tutom masih lagi diteruskan sehingga ke hari ini. Sekiranya anda berpeluang melawat Singapura, khususnya di sekitar yang ramai penduduk Melayu, anda akan bertemu dengan penjual ubat di tepi jalan atau di kaki lima yang membuat pertunjukan Tutom Urut kepada pelanggannya, sebagai daya tarikan untuk melariskan jualan mereka. Keadaan ini juga boleh ditemui sekali sekala di Batu Pahat, Johor.

Hasil kajian dan penelitian membuktikan bahawa Tutom sebenarnya terbahagi kepada tiga kategori. Kategori pertama ialah, Tutom penyakit terkena buatan orang atau sihir, terminum atau termakan benda-benda kotor seperti minyak orang mati terbunuh. Kategori kedua ialah Tutom penyakit seduan atau resdung dan kategori yang ketiga ialah Tutom Saraf.

Tutom Urat Saraf.

Tutom Urat Saraf boleh ditakrifkan sebagai suatu tindak laku secara kebatinan, menyeru dan memanggil keluar urat-urat bengkak yang tersimpul yang menganggu kesihatan seseorang dengan cara menepuk-nepuk badan pelanggan dengan menggunakan belakang tangan. Tutom Urat Saraf bermula dari kiri dan kanan bahu, turun ke belakang, pinggang, punggung, betis dan naik semula ke perlipatan lutut sebelah belakang. Di belakang/perlipatan lutut itulah tepukan perlu dikuatkan sedikit dan diulang beberapa kali. Dalam tak sampai sepuluh minit upacara Tutom itu pun berakhir.

Sesudah itu, anda akan dapat melihat tanda-tanda bengkak yang amat sangat berwarna hijau tua dan kadang kala sebesar telur ayam dan kadang kala kelihatan lintah yang besar. Sudah pasti sesetengah dari pembaca akan terperanjat bila melihat keadaan seperti itu. Sebenarnya, itulah dikatakan urat-urat bengkak dan bermasalah yang terdapat pada tubuh dan bertumpu di perlipatan lutut sebelah belakang. Pada prinsipnya, jika badan atau tubuh seseorang itu lebih mudah terasa lenguh-lenguh atau sakit-sakit di sebelah kanan, maka lebih banyaklah urat-urat yang bengkak akan keluar di sebelah kanan, perlipatan belakang lutut dan begitulah sebaliknya.

Perlu ditegaskan bahawa, sejurus selepas upacara Tutom berakhir, iaitu selepas keluarnya urat-urat bengkak, maka si pelanggan pun akan merasa lega dan tidak lagi rasa sakit-sakit atau lenguh-lenguh di badan. Seolah-olah, semua penyakit yang ada hubungkaitnya dengan urat saraf di campak buang. Sungguh pun begitu, kesan-kesan lebam berwarna hijau tua akan tetap wujud pada tempat-tempat yang kena tepuk tadi. Dalam masa seminggu atau sepuluh hari, baharulah kesan lebam-lebam itu akan hilang. Itulah serba sedikit penerangan berkenaan dengan Tutom.