Keselamatan Yang Hakiki Bagi Insan.

Rasulullah SAW yang diutuskan oleh Allah Taala untuk memperbaiki akhlak setiap insan di tengah-tengah kemelut jahiliah yang parah dalam kehidupan mereka. Rasulullah SAW yang memandang manusia pada hatinya. bukan pada jasadnya saja, sebab itu baginda datang ke tengah masyarakat melihat kekusutan serta kemungkaran yang sedang meracuni kehidupan, lalu baginda berusaha mengubah dan mengubat hati mereka. Baginda berjaya melakukannya.

Kekusutan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini hen­daklah diubati. sebagaimana baginda Rasulullah SAW meng­ubati kekusutan akhlak umatnya. Dalam hal ini kita perlu me­ngikuti jejak langkah baginda.

Sudah menjadi tanggungjawab bersama terutama mereka yang ahli dalam bidang mereka. seperti pendakwah-pendakwah agama, guru-guru, kaunselor-kaunselor dan ibu bapa yang soleh muncul dengan tegas dan gigih di tengah-tengah masyarakat untuk mengembalikan pengertian hidup yang hakiki, dan den­gan cara ini dapat mengembalikan manusia kepada fitrahnya. Formula untuk mengembalikan dan menjamin kebahagiaan hati manusia di dunia lebih-lebih lagi di akhirat yang kekal abadi.

Hendaknya mereka jangan jemu dan bosan untuk mengubat setiap hati manusia yang kian meruncing keselamatannya, agar dengan demikian masyarakat akan terselamat dari penyakit­ penyakit sosial yang boleh menggelapkan sesebuah negara dan kaum itu sendiri.

Tidak ada ubat penyakit hati yang lebih mujarab selain dari­pada kita mendekati kepada Allah dan bersyukur serta mencari hikmah di sebalik sesuatu musibah yang ditimpakan ke atas kita.

Untuk menghindari jiwa dari dihinggapi penyakit, seseorang itu harus tegak dengan jiwa yang sanggup menghadapi pertarungan, dengan tabah dan berjaya, kita harus mempunyai keper­cayaan yang tinggi terhadap kekuasaan Allah Taala, prinsip­-prinsip akhlak yang mulia, pengajaran agama yang benar kerana kepercayaan ini akan menjadi sebaik-baik pemandu dan pem­bimbing untuk menimbang, dan memberi nilai baik atau buruk kepada keinginan-keinginan yang sedang berperang dalam jiwa seseorang itu.

Dengan kepercayaan ini, kita dapat meleburkan dengan senangnya segala keinginan yang karut-marut, kemahuan untuk menceroboh dan merosok.

Orang yang tidak mempunyai iman yang tinggi, prinsip akhlak dan pengajaran agama mereka dengan mudah saja gugur menjadi korban pertarungan batin yang menghancurkan kes­ihatan dan ketenteraman jiwa mereka, kerana mereka tidak ubah seperti kapal yang tidak berkemudi dengan mudah diper­mainkan oleh arus gelora perasaan mereka. Mereka tidak boleh membuat pilihan dan keputusan dengan cepat dan tepat kerana mereka tidak ada neraca keimanan yang boleh memandu mereka ke arah hidup yang lebih baik.

Dalam hal ini seseorang yang dapat mengatasi pertarungan batinnya mestilah bersifat sabar, mengenal diri mereka sendiri, bijaksana, mempunyai tujuan yang baik dalam hidup mereka. Kerana mereka beriman, mereka dapat mengambil keputusan yang tegas dan logik dan mereka tidak terjebak dengan masalah jiwa yang sakit dan terganggu.