Erti Perubatan Dalam Islam.

Tujuan Allah Menurunkan Penyakit.

Setiap manusia yang berada di muka bumi ini tidak terlepas dari ditimpa ujian dan kesakitan. Ujian menimpa sesiapa sahaja sama ada orang itu suka atau tidak, sama ada dia seorang ahli ibadah atau tidak, sama ada dia berjaga-jaga atau tidak, sama ada dia seorang mukmin atau kafir, sama ada dia seorang muk­min yang bertaqwa atau pun derhaka dan sama ada seorang raja atau rakyat jelata.

Ada tiga tujuan utama mengapa Allah SWT menimpakan penyakit pad a seseorang itu.

1. Penghapusan Dosa, Rahmat Dan Peningkatan Darjat.

Sakit bukan sahaja menjadi bala tetapi juga rahmat dan kasih sayang Allah SWT pada kita. Kalau kita berzikir, beristighfar, sembahyang dan sebagainya, belum tentu Allah Taala terima amal tersebut. Oleh sebab sakit dan ujian yang ditimpakan, kalau dia berdosa, itu adalah penghapusan dosa untuknya jika dia bersabar. Kiranya dia tidak berdosa, itu akan meningkatkan darjat atau pangkatnya di akhirat kelak.

2. Memberi Keinsafan.

Sesetengah orang, insaf bila ditimpa sakit. Dia sedar dan insaf bahawa hakikat sakitnya adalah kerana dosa-dosanya. “Aku ada dosa ini. Mudah-mudahan Allah Taala ampuni dosaku.” Dia sabar dan redha dengan ketentuan Allah SWT itu. Kalau mati pada waktu itu, lnsya Allah dia mati dalam keadaan baik. Kalau dia insaf, itulah rahmat untuknya. Macam kita pukul anak kerana main tepi kolam. Kita takut dia lemas. Kita pukul sikit. Bukan pukul membinasakan tetapi pukul kerana sayangkannya.

3. Kutukan Allah SWT.

Apabila Allah SWT sudah murka pada seseorang itu, maka diazabnya di dunia lagi sebelum di akhirat. Biasanya kalau seseorang itu ditimpa sakit yang ada hubungan dengan kutukan Allah SWT, susah hendak sembuh. Tanda orang ini, apabila ditimpa sakit, sama ada sudah sembuh atau sedang sakit, dia akan bertambah jahat. Bertambah lupa dengan Allah SWT. lmannya semakin rosak. Syariat juga semakin longgar. Barang­ kali dari sembahyang dia cuai dan lalai. Itulah kutukan Allah SWT padanya. Kebanyakan kategori golongan ini, mereka mati dalam terhina.

Tujuan Mengubat Pesakit.

Setiap insan yang diberi nyawa oleh Allah SWT ialah untuk mengabdikan diri kepada-Nya, setiap insan juga adalah khalifah di muka bumi ini. lni bermakna segala hidup di muka bumi hendaklah ditadbirkan sesuai dengan kehendak-Nya.

Badan dan akal yang sihat adalah begitu penting bagi se­orang muslim itu untuk melaksanakan berbagai tugas, di muka bumi ini. Oleh itu jika seseorang itu sakit akan menghalangnya daripada bekerja untuk hidupnya dan beribadah kepada Allah SWT.

Dari badan yang sihat akan dapat membina kecerdasan akal untuk bertindak, berfikir, dan merancang masa depan umat Is­lam itu sendiri.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hidup di dunia ini adalah tanam-tanaman, untuk dipetik hasilnya di akhirat.”

Kesihatan seseorang itu pasti dijaga dari masa ke semasa seperti sabda Rasululllah SAW lagi yang maksudnya: “Orang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih disukai dari mukmin yang lemah. ”

Setiap umat Islam itu hendaklah berdoa agar mereka diberi kesihatan yang lebih baik dari masa ke semasa, agar mereka sentiasa dilindungi oleh Allah SWT daripada penyakit zahir dan batin.

Panjatkan doa kepada Allah SWT. “Ya! Allah kumiakanlah kami kesihatan badan dan akal, agar kami dapat berbakti kepada-Mu Ya Allah untuk agama dan kehidupan kami di dunia dan akhirat. ”

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dalam diri anak Adam ra. ada seketul daging, jika baik ia maka baiklah segala anggota tubuh badan, jika rosak ia rosaklah sekalian anggota manusia. Ketahuilah iaitu hati”

Dapat difahami daripada hadis tersebut bahawa jenis penyakit itu ada dua.

1. Penyakit batin, berlaku atas rohani dan jiwa manusia.
2. Penyakit lahir berlaku pada anggota lahir manusia.

Lahir dan batin adalah saling berkait. Kesihatan rohani hendaklah dijaga setiap ketika, kerana ia mempengaruhi anggota lahir manusia. Keadaan lahir yang sihat belum tentu mem­bayangkan keadaan batin yang sihat.

Keadaan yang lahir boleh dilihat dengan mata kasar iaitu semua anggota badan kita, manakala jasad batin adalah jasad ghaib yang menggerakkan seluruh anggota lahir, yang boleh berfikir, merasa, mengingat, mengetahui, memahami dan apa saja yang kita miliki dalam diri kita yang dipanggil roh.

Seandainya satu jasad kita tidak dapat digunakan, kita masih wajib bersyukur pada Allah Taala kerana masih ada banyak lagi anggota yang masih boleh digunakan.

Apa yang mengancam kita sekarang ialah berbagai-bagai penyakit rohani yang begitu membimbangkan masyarakat Islam, di mana remaja-remajanya terdedah dengan berbagai konflik jiwa yang begitu ketara, masalah bohsia yang berlaku di kalangan remaja di mana remaja itu mendedahkan dirinya kepada seks bebas adalah amat membimbangkan ibu bapa ke­rana sikap ini seolah-olah mereka tidak berpegang langsung dengan tali Allah Taala, hingga diri mereka terdedah dengan kegiatan yang amat memalukan umat Islam.

Selain dan penyalahgunaan dadah, lepak, penyelewengan akidah, satu demi satu timbul perlakuan yang mengejutkan umat Islam masa kini, masalah ini timbul adalah kerana kurang di­dikan agama, keadaan persekitaran yang begitu mencabar serta tidak ada rasa tanggungjawab sepenuhnya dari ibu bapa.

Maka berlakulah penyakit-penyakit putus asa, kecewa, resah-gelisah, penderitaan jiwa, fikiran yang kacau bilau, rasa rendah diri, kesunyian, kekosongan, rasa keseorangan, ketegangan perasaan dan berbagai-bagai bentuk sakit jiwa. Kerana itu in­dividu yang tidak teguh imamya akan tercabar dengan ber­bagai-bagai kemungkaran yang boleh membawa kepada ke­musnahan hidup mereka.

Penyakit fizikal yang lahir mudah kita kesan kerana ada kesan luka dan kudis, tetapi penyakit jiwa sukar untuk dikesan dengan mata kasar kerana bentuk penyakit ini adalah berbentuk perasaan seperti hasad, dengki, bakhil, gila dunia, cepat marah, dendam, buruk sangka, mementingkan diri sendiri, sombong, riak, ujub, mudah takut dan lain-lain lagi.

Walaupun sakit itu tidak nampak dengan mata kasar, dan kurang diberi perhatian dan rawatan yang serius tetapi siapa yang berani menafikan hakikat ini?

Ya, umpamanya sekarang banyak terjadi ibu bapa yang men­dera dan menghukum anak mereka hingga cedera dan ada meninggal dunia, tidakkah mereka itu terdiri dari kalangan ibu bapa yang sakit dan parah jiwa mereka? Dalam hal ini kita sebagai anggota masyarakat Islam harus prihatin dan sentiasa mengambil berat untuk mengatasi masalah ini.

Memang tidak dinafikan penyakitnya tidak nampak, tetapi sebenarnya orang-orang yang sedang menderita jiwanya pada saat ini lebih ramai bilangannya daripada penderita-penderita penyakit fizikal yang sedang dirawat di hospital-hospital. Kebi­jaksanaan dan kepakaran manusia seharusnya lebih serius me­mikirkan pengubatan kepada pesakit batin sepertinya seriusnya para pengamal perubtan moden mengubat penyakit-penyakit fizikal.

Orang-orang yang mengalami penyakit-penyakit fizikal se­perti sakit jantung, buah pinggang, kencing manis, barah dan lain-lain lagi tidak pernah bunuh diri dan membunuh orang lain. Tetapi bagi mereka yang mengalami penyakit batin dan sakit jiwa, yang berasa kekosongan, rendah diri, putus asa, ha­sad, dengki, dendam, pemarah, buruk sangka dan lain-lain itu akan memungkinkan mereka membunuh orang lain atau membunuh diri sendiri.

Demikianlah salah satu buktinya bahawa penyakit-penyakit batin ini lebih merbahaya daripada sakit lahiriah. Penyakit batin ini bukan saja membuatkan pesakitnya berasa sakit dan tersisih tetapi akan merosakkan masyarakat jika ramai pesakit-pesakit batin yang tidak diubati.

Kita seharusnya sebagai individu muslim harus sedar hakikat ini, penyakit batin walaupun nampak tidak merbahaya tetapi sebenamya, mereka yang berpenyakit batin ini adalah dari kalangan orang-orang yang sentiasa tidak puas hati dengan pemberian Allah Taala, dalam hal ini tiada keseimbangan emosi mereka, mereka sanggup melakukan sesuatu yang di luar biasa dan perikemanusiaan.

Kita begitu sedih dengan gejala-gejala sosial yang kian tenat melanda para remaja hari ini, kita begitu pedih melihat pen­deritaan mangsa dera, kita termanggu-manggu dengan mayat­-mayat hidup yang menjadi sampah masyarakat, kita marah dengan ibu bapa yang mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai penjaga, kita hanya sebagai penonton dari satu pe­ristiwa, hingga kebingungan untuk menangani semua masalah itu.

Kita juga sering dikejutkan dengan peristiwa yang menyayat hati akan isu penderaan terhadap anak-anak yang tidak berdosa. Oleh itu kita soal kembali siapakah ibu bapa mereka yang kejam ini? Jawapannya tidak lain tidak bukan adalah ibu bapa yang sakit jiwanya, yang tenat mentalnya yang longgar imannya.

Isu penderaan terhadap kanak-kanak bukan berlaku di negara kita malah di seluruh dunia tanpa rnengira kaum ideologi dan kehidupan.

Menurut laporan sebuah akhbar, suku juta kanak-kanak di seluruh dunia mati setiap tahun dengan penderaan dan berjuta lagi terpaksa bergelut untuk hidup dalam keadaan kekurangan makanan, mengalami kesakitan kronik, terperangkap dalam kancah peperangan, dalarn masalah alam sekitar yang dice­tuskan oleh orang-orang dewasa yang sakit jiwanya.

Apa yang paling aib kita ketahui bahawa antara 10 hingga 15 peratus kanak-kanak menjadi mangsa penderaan seks dari orang-orang dewasa yang sedang mengalami konflik jiwa.

Di Amerika Syarikat sendiri, negara yang gah memper­juangkan hak asasi manusia di seluruh dunia mencatatkan kadar kemelaratan di kalangan kanak-kanak semakin bertambah.

Hari ini seorang daripada setiap lima orang kanak-kanak di Amerika melarat, kes penderaan juga kian bertambah, peng­abaian dan penderaan terhadap kanak-kanak yang akan me­warisi masa depan sesebuah negara itu semakin serius di seluruh dunia, berpunca dari kernunduran, penindasan, pergolakan politik dan peperangan. Puncanya dari mereka orang-orang de­wasa yang tidak tenterarn jiwanya, lebih jelas lagi segalanya berpunca dari sakit jiwa orang-orang dewasa.

Orang-orang dewasa harus menyedari bahawa jika mereka ditekan oleh perasaan serba salah dan rasa tidak tenteram, cuba ubati jiwa anda dengan mendekatkan diri kepada Allah, minta pertolongan dari-Nya dan panjatkan doa restu untuk mencari kebaikan dalam kehidupan. Bukan melepaskan rasa sakit jiwa itu kepada anak-anak yang tidak berdosa.

Kanak-kanak itu amanah Allah Taala berhak untuk menda­pat perlindungan yang terbaik serta kasih sayang dari penja­ganya, mereka perlukan didikan yang sempurna, dunia yang aman serta alam sekitar yang bersih, bukan penderitaan yang tiada penghujungnya.

Dalarn hal ini marilah kita buangkan selimut keraguan, kesangsian dan rasa serba salah itu dengan mencari punca segala masalah hingga terjadinya peristiwa dan perkara-perkara yang menjijikkan masyarakat itu seluruhnya.

Beberapa saranan yang harus dilakukan untuk menangani masalah ini ialah:

1. Tutup semua pusat hiburan yang menjadi punca maksiat yang boleh merosakkan dan mengkhayalkan jiwa setiap individu.

2. Jabatan-jabatan agama dan badan-badan kebajikan berilah pendidikan yang secukupnya kepada bakal ibu bapa.

3. Adakan lebih banyak tempat-tempat mendalami agama agar individu-individu yang parah jiwanya untuk mencari jalan keluar tidak tersesat dan tersalah pilih tempat untuk melepaskan tension, hingga terjadinya penyelewengan akidah.

4. Dedahkan lebih banyak cara berinteraksi dan akhlak mulia kepada remaja dalam siri-siri kaset atau siaran TV.

5. Cuba hapuskan budaya barat yang mengelirukan dan hi­buran-hiburan yang boleh mengkhayalkan. Lagu-lagu yang berbentuk barat dan melekakan, cuba sarankan lebih banyak lagu-lagu yang berbentuk nasyid dan lebih memuja Allah dan Rasul serta pengajarannya daripada lagu-lagu yang memuja seorang kekasih.

6. Hapuskan iklan-iklan yang mengeksploitasikan wanita­-wanita separuh bogel di TV.

7. Fikirkan kejernihan jiwa dan peradaban yang sihat hanya boleh kita kecapi dengan kerjasama semua pihak, dari ne­gara, masyarakat hingga kepada ibu bapa.

8. Adakan tempat-tempat rekreasi, di mana semua insan yang ingin mencari kedamaian jiwanya dapat menempatkan diri atau melepaskan ketegangan dengan mendengar syarahan-syarahan agama dan kaunseling agama yang boleh melegakan perasaan mereka.

9. Hapuskan sama sekali sarang-sarang pelacuran yang menjadi punca dan sarang maksiat dan tersebarnya penyakit Aids.

10. Kegiatan agama hendaklah harus lebih banyak diadakan di sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi daripada kegiatan lainnya.